Munsyi Haji Mohd Rosli Bin Bakir

Penyair Ujung Selatan Benua Asia ini lahir di Johor, Malaysia. Membuat pengkhususan di bidang Kesusasteraan Melayu di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang, Malaysia. Ia merupakan Munsyi Dewan (Sastera), mantan pendidik dan pentadbir sekolah, penggiat puisi Melayu tradisional dan moden. Memiliki 107 buku antologi bersama (2004-Disember 2024), tiga kumpulan puisi berjudul Khabar dari Mimbar (ITBM, 2017), Mahar Sebuah Perjuangan (PPJ, 2023), Kitalah Laut dan Angin (PPJ, 2024) dan tujuh buah kisah kehidupan (2018 – 2020). Pelbagai anugerah diraih: Anugerah Sastera Johor (ASJ) ke XI dalam Kategori Buku Kumpulan Puisi Terbaik 2019, Kategori Puisi Eceran pada ASJ Ke VII 2009 dan ASJ Ke XII 2021, Anugerah 10 Penulis Terbaik Resensi Puisi ASEAN 2020, Anugerah Tokoh Aktivis Puisi Negeri Johor 2021, Anugerah 21 Penulis Terbaik Pantun Nasihat Peringkat ASEAN 2021, Hadiah Utama Lomba Mencipta Pantun (2020), penerima Anugerah Tokoh Guru Daerah Pontian 2021 dan Tokoh Puisi Negeri Johor 2022. Biodata lengkap dicatat Direktori 100 Penyair Malaysia (Julai 2018) terbitan Penyair Malaysia. Aktif di Setiausaha Persatuan Penulis Johor (2004-2019); Ketua Penerangan Persatuan Penulis Johor (2019-kini); Ahli Jawatankuasa Majlis Kebudayaan Negeri Johor (2018-kini), Koordinator Malaysia untuk Perkumpulan Rumah Seni Asnur Jakarta (2020-kini).